Saturday, 18 February 2012

Penyaluran bantuan wang yang berlebihan oleh BN. Apakah kesannya?

Oleh Viktor Wong

Kepada kebanyakan keluarga, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 seorang adalah bagaikan “ang pow” Tahun Baru Cina buat mereka. Menurut perdana menteri dan presiden Umno Najib Razak, rakyat tidak merasai seberang kesan daripada subsidi minyak, gula atau tepung, tetapi mereka lebih terkilan dengan bantuan tunai sebanyak RM500 tersebut.

Malah, sesetengah penerima skim BR1M turut mencium tangan Najib apabila bantuan tunai tersebut disampaikan, namum keadaan sebenarnya boleh dikaji dalam beberapa aspek.

Sebanyak 4 juta isi rumah dengan pendapatan kurang daripada RM3000 telah memohon untuk mendapatkan BR1M dan jika kita menganggap terdapat 4 orang ahli keluarga di setiap isi rumah, kita boleh dapati seramai 16 juta orang adalah daripada kalangan yang berpendapatan rendah, iaitu kira-kira 57% daripada jumlah penduduk .

Dan oleh kerana tarikh akhir permohonan BR1M itu telahpun dilanjutkan ke 10 Februari 2012, maka jumlah pemohon skim tersebut dijangka akan bertambah, menandakan terdapat jurang yang begitu besar sekali di antara golongan yang kaya dan miskin.

Yang kaya terlalu kaya, yang miskin ...?

Contohnya, bekas menteri belia dan sukan Datuk Azalina Othman telah menerima sejumlah RM300,000 bagi pembayaran ke atas sebuah kereta Mercedez Benz 280SL yang telah dijual oleh beliau kepada seorang pengarah syarikat terkemuka yang tersenarai dalam Bursa Saham Kuala Lumpur dan pada tahun 2010, purata elaun seseorang pengarah syarikat adalah dalam sekitar RM107 juta.

Adalah menjadi suatu kebiasaan bagi mereka yang kaya raya membelanjakan wang ratusan ribu ringgit dalam satu hari sahaja, sementara mereka yang miskin pula terpaksa bergantung kepada hanya RM10 sehari untuk perbelanjaan. Jurang di antara kaya dan yang miskin ini perlulah diperseimbangkan bagi meningkatkan kestabilan sosial dan ekonomi masyarakat.

Di Amerika Syarikat contohnya, Presiden Barrack Obama telah mrncadangkan agar jutawan di negara itu membayar 30% cukai kepada kerajaan. Kerajaan Malaysia juga boleh berbuat demikian dengan mengenakan cukai yang lebih tinggi terhadap golongan kaya raya bagi membantu menstabilkan keadaan sosial ekonomi yang kini tidak begitu seimbang.

Jika sekiranya pihak kerajaan masih enggan menaikan kadar cukai ke atas golongan kaya dengan terus membenarkan mereka menikmati subsidi kerajaan, bagaimana ianya akan dapat memperoleh dana yang mencukupi bagi melaksanakan rancangan dan progam sosial kebajikan untuk rakyat yang benar-benar memerlukannya.

Pilihanraya umum dah dekat

Yang kedua, penyaluran bantuan kewangan yang begitu tinggi jumlahnya sebelum pilihanraya menjelang akan hanya mengakibatkan negara kita ini mengalami nasib yang sama seperti Greece dan Itali.

Elaun RM100 setahun untuk para pelajar, bantuan BR1M sebanyak RM500, pengedaran baucar bernilai RM200 bagi pembelian buku (untuk pelajar) dan yang terbaru subsidi gula, bukannya pemberian hadiah yang terakhir. Sebelum ini, Najib telah mengumumkan bahawa para peneroka Felda akan menikmati satu lagi bentu “hadiah” lumayan yang juga berupakan wang ringgit tidak lama lagi.

Bukan itu sahaja, kerajaan juga telah mewujudkan satu saham amanah bernama Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara) yang menjanjikan pulangan yang tinggi sebanyak 12% setiap tahun.

Sementara itu, Cuepacs turut membantah jurang kenaikan gaji yang sangat ketara di antara pegawai kanan dan para pegawai rendah di dalam perkhidmatan awam di bawah skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Berdasarlan pertimbangan politik, kerajaan telah berjanji untuk mengkaji semula skim gaji di bawah SBPA dengan kadar kenaikan yang baru di antara 7% hingga 13% dan jika sekiranya kadar tersebut dilaksanakan, adalah dibimbangi ianya akan mengakibatkan defisit belanjawan kerajaan yang lebih tinggi pada tahun ini yang kini sedang menuju ke tahap yang kritikal.

Bantuan disalahgunakan

Persoalannya adalah, adakah dengan kebanyakan hadiah wang dan skim bantuan kewangan berlebihan yang ditawarkan oleh kerajaan ini adapat mengukuhkan kadar dan daya saing di kalangan rakyat? Sesetengah orang mungkin tidak akan menghargainya, malah ada yang telah mula menyalahgunakan kemudahan tersebut. Contohnya, baucar RM200 untuk pembelian buku, ada ramai pelajar yang mengiklan di dalam internet untuk menjual baucar-baucar buku yang diterima mereka untuk mendapatkan keuntungan segera.

Jika perkara ini berterusan, dan pada masa yang sama, kerajaan masih gagal menangani masalah gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan kewangan, penggelapan wang dan pecah amanah, pihak perbendaharaan tidak akan mempunyai dana yang mencukupi bagi menampung subsidi-subsidi yang pelbagai.

Arahan kerajaan agar Bank Negara mencetak lebih banyak wang bagi perbelanjaan tersebut tidak akan memberi sebarang manfaat kepada semua kerana perbuatan sedemikian akan hanya membawa malapetaka yang lebih besar ke atas mata wang ringgit di pasaran antarabangsa.

Di jangkamasa yang panjang, akan tidak ada perasaan menghargai segala jenis bantuan yang disalurkan itu dan rakyat jelata akan menerimanya semata-mata kerana dapat mengambilnya.

Untuk merapatkan jurang pendapatan di antara mereka yang kaya dan yang miskin, serta mereka yang hanya bergantung kepada bantuan kerajaan, pembaharuan ekonomi sememangnya tidak dapat dielakkan kerana hanya dengan cara ini sahaja, ianya akan dapat meningkatkan pendapatan negara, meningkat daya saing yang sihat dalam ekonomi dan pada masa yang sama rakyat jelata juga haruslah bijak dan bekerja keras untuk menikmati sebarang faedah.

Memancing undi dengan pemberian berlebihan pelbagai bentuk dan jenis skim atau bantuan kewangan berbentuk “hadiah” atapun “ang pow” sebenarnya hanyalah sesuatu langkah sementara yang boleh memusnahkan ekonomi negara dalam masa yang singkat, sekiranya amalan tersebut diteruskan sebegini rupa.

*Viktor Wong adalah pengarah Inter-Research And Studies (IRAS), iaitu sebuah pusat kajian dan penyelidikan politik dan sosial. Sebelum ini beliau pernah menjawat jawatan Setiausaha DAP Cawangan Bagan Jermal sebelum pilihanraya umum 2008.

No comments: